Friday, April 12, 2013

Edisi LoL: Tolonglah Fikir,Kan Dah Besar



Bila duduk serumah sudah dianggap seperti keluarga sendiri, namun apa yang akan terjadi apabila tersalah pilih. NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN menyelongkar perasaan mereka yang punya rakan sebilik pengotor dan mengganggu privasi.
Hanya mampu melihat dengan hati membengkak kerana nasihat pun tidak mahu dengar dan pura-pura tak tahu. Ini boleh bikin meletus perang dingin. Orang kata walaupun seseorang itu nampak baik dan cantik namun apabila duduk serumah, baru kita tahu hakikat sebenar perangai dan sikap masing-masing. Muka saja cantik buat apa kalau pengotor. 
Bukan isu pengotor saja, ada juga yang sibuk jaga tepi kain orang lain. Merimaskan! 24 jam nak tahu ke mana kita pergi mengalahkan mak ayah kita. Bahkan bukan itu saja sibuk buat 'spot check' dalam rumah mengalahkan ketua kampung. 

Jiwa pasti sakit dan derita apabila dapat rakan sebilik yang mempunyai sikap negatif begitu. Rasa menyesal pula mengajak duduk serumah. Ada pula satu kes yang penulis pernah baca apabila rakan sebilik memasang muzik dengan nada bingit tanpa mempedulikan rakan-rakan lain yang mungkin tengah ulang kaji, tidur dan solat. Mereka yang bersikap begini memang hanya mementingkan diri sendiri.

Akan kerap berlaku pergaduhan kecil dan bermasam muka apabila isu ini dibangkitkan. Apabila ditegur oleh rakan sebilik, mulalah naik berang!

Hal ini biasa terjadi terutama bagi yang tidak biasa tinggal berasingan dengan keluarga. Misalnya melangkah kaki ke alam pekerjaan atau baru saja mendaftar sebagai pelajar luar kampus, mencari bilik sewa atau rumah sewa. Perkara itu mungkin baru bagi mereka kerana jika tidak dibantu dengan sebetulnya, pasti akan mengalami masalah di kemudian hari. 

Tidak semua orang sedar bahawa mencari rakan serumah dan rakan sebilik tidak semudah yang disangkakan. Pelbagai perkara harus difikirkan dan diteliti sebelum sebarang kata putus diambil. Jika tidak kita hanya perlu reda dan berkongsi bilik atau rumah dengan mereka yang mempunyai sikap buruk dan mendatangkan tekanan emosi dan fizikal malah boleh merugikan wang ringgit kita. 

Pilih rakan sebilik yang memang kita kenal rapat dan mempunyai tahap kebersihan yang tinggi. Berterus terang pada kali pertama berkenaan dengan diri kita seperti apa yang kita suka dan tidak suka serta personaliti rakan sebilik atau serumah yang kita mahukan. Hal ini akan menyenangkan kita dan menjimatkan masa untuk mencari rakan sebilik yang baru. 

Hal ini juga sedikit sebanyak membantu orang lain untuk mengenali kita dan membuat keputusan sama ada sesuai atau tidak untuk tinggal dengan kita. Jika tidak berkenan, sila berterus terang dan nyatakan kepada mereka bahawa dia bukanlah rakan serumah yang dicari. 

Selain itu, ada juga isu berkaitan dengan rakan sebilik atau serumah yang liat untuk membayar sewa dan kemudian menyusahkan kita untuk mendahulukan duit kita sebagai duit sewa, kemudian tidak bayar balik dan pura-pura lupa. Isu ini memang sering terjadi kepada semua yang pernah ada rakan sebilik ini. 

Memeriksa latar belakang rakan serumah atau sebilik juga penting terutama mendapatkan maklumat daripada bekas rakan sebilik mereka mengenai sikap dan perilaku dia. Contohnya ,seperti adakah mereka pengotor, lewat bayar sewa atau suka bawa bukan jantina yang sama pulang ke rumah. Cuba korek rahsia daripada mereka, mungkin itu boleh membantu.

Akhir sekali, mengenali diri sendiri dulu, seandainya anda seorang yang lebih suka privasi dan tidak suka campur hal yang remeh-temeh. Kemudian berfikir sama ada anda sesuai untuk tinggal seorang atau mempunyai rakan sebilik. Ini penting untuk menjaga hati seseorang terutama apabila mendapat rakan sebilik yang sensitif dan mudah terasa. Selamat mencuba! 


Ganggu waktu tidur

"Saya pernah mempunyai rakan sebilik yang suka mengganggu privasi terutama apabila tibanya waktu tidur dengan membawa kawan-kawan sekelas mereka datang melepak di rumah. 

"Apabila membawa rakan mereka yang ramai itu, mulalah buat bising dengan gelak ketawa yang sangat kuat dan membuat saya yang tengah tidur nyenyak terus terjaga. 

"Ketika itu memang terasa sangat marah dan geram. Pengalaman kawan-kawan yang lain pun ada juga di mana rakan sebilik mereka mengambil barang-barang dia dengan sesuka hati tanpa meminta kebenaran dulu dan terus guna. Lepas balik saja dari kuliah, terkejut melihat barang-barang berterabur sana-sini. 

"Banyak sebenarnya pengalaman rakan sebilik yang bersikap begini, mereka ini diibaratkan seperti pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan rakan yang duduk sebilik. Seharusnya mereka lebih prihatin terhadap orang di sekeliling. 

"Ada lagi satu pengalaman saya di mana rakan sebilik yang jenis tidur awal kemudian tutup lampu, padahal saya dan rakan sebilik yang lain nak 'study' waktu malam. Memang tidak bertimbang rasa langsung lalu terus dia tutup lampu dan buat tak tahu. 

"Walaupun berlaku situasi begini, tidaklah menyebabkan saya untuk menukar ke bilik lain. Pernah juga saya menegur sikap mereka tetapi tidak dipedulikan malah makin menjadi-jadi. 

"Yang punya kekasih hati pula bergayut di telefon pada tengah malam, kalau cakap perlahan itu mungkin boleh diterima lagi, tetapi yang seorang ini bercakap dengan nada yang kuat sampai boleh satu Malaysia dengar. Saya yang mendengar, memang stres kerana ganggu waktu tidur saya," katanya. 

Nama: Siti Norazilah Ahmad Tamili 
Umur: 23 Tahun 
Lokasi: Selangor 


Pengotor sangat

"Kenal rakan sebilik ini ketika mula-mula masuk universiti, dia ini memang seorang yang jenis pengotor. Saya mengatakan dia seorang yang pengotor kerana suka buat bilik itu seolah-olah dia seorang yang punya dan tidak endah nasihat saya. Dia buat-buat tak tahu bila saya tegur. 

"Pakaian yang sudah dibasuh, dia akan campur sekali dengan baju busuk dan suka memakai pakaiannya banyak kali tanpa membasuh terlebih dulu. 

"Kemudian apa yang saya tidak puas hati lagi ialah apabila memasak, mengalahkan tinggal dengan keluarga sendiri kerana pinggan mangkuk dan periuk belanga dibiarkan begitu saja tanpa dicuci semula. Saya yang melihat memang terasa geram. 

"Perlakuan dia yang kotor itu membuatkan rakan sebilik yang lain menukar bilik. Itu tidak termasuk lagi pakaiannya yang tidak tersusun di dalam almari dan meletakkan saja di ruang tamu rumah sehingga rakan serumah yang lain kurang selesa. Ada juga saya menolong untuk mengemas barang-barangnya yang bersepah tetapi bukan mengucapkan terima kasih malah marahkan saya sebab sentuh barangnya. 

"Tahun depan saya memang akan berpindah sebab sudah tamat belajar, jadi tidak lagi tinggal serumah dengannya terutama sikap pemalas dan pengotor yang memang tidak boleh diterima itu. 

"Kadang-kadang terasa seperti orang gaji dia pula, semua kerja rumah saya yang lakukan seorang diri seperti kemas katil, sapu sampah dan mengelap.

"Saya berharap dia akan berubah. Saya kasihan dan terfikir siapa lagi mangsa dia selepas ini," katanya. 

Nama: Nurfarahana Moktar
Umur: 23 Tahun 
Lokasi: Perak 


Dibuat macam kuli

"Perkara yang paling saya tidak tahan apabila mereka makan dan tinggalkan pinggan dalam sinki. Kadang-kadang bila balik hujung minggu, mereka tinggalkan makanan yang telah dibuang. Kemudian bila saya pulang semula ke rumah bau busuk sampah yang tidak dibuang menyebabkan saya kurang selesa.

"Pada mulanya saya tidaklah terus marah dan tolong juga buangkan sampah itu kerana malas untuk menegur sebab masing-masing sudah besar dan boleh berfikir sendiri baik buruknya. 

"Tetapi apabila kerap sangat berlaku, siapa yang boleh tahan kerana saban hari saya yang menjadi 'kuli' membuang sampah mereka. 

"Apabila tidak tahan dengan situasi itu, saya mula beri teguran dan ingatkan buang sampah dan basuh pinggan lepas makan. Ada yang ikut teguran saya dan ada juga yang buat mimik muka menyampah dan mengata di belakang.

"Keadaan itu tidaklah membuatkan saya sehingga mahu berpindah rumah kerana setiap orang punya kekurangan dan kelebihan. Bagi saya, mereka baik cuma mungkin kekurangan mereka di situ. Jadi saya terima dan cuba membantu antara satu sama lain," katanya.

No comments:

Post a Comment