Posted by : admin Saturday, March 30, 2013

Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya. "Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Powered by Blogger.

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -