Posted by : admin Sunday, March 3, 2013

Kehadiran lima pasukan profesional seakan-akan tidak memberi impak yang besar pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013.

Ini kerana, kesemua jersi yang dipertandingkan pada edisi ke-18 perlumbaan berstatus Hors ini dimenangi pelumba daripada pasukan profesional benua dan benua.

Pelumba Colombia, Julian Arredondo daripada pasukan benua Jepun, Team Nippo-De Rosa (PPO) dinobatkan selaku juara keseluruhan (Jersi Kuning). Francesco Chicchi daripada pasukan benua Itali, Vini Fantini-Selle Italia (VIN) pula membawa pulang Jersi Biru (Raja Pecut).

Pelumba bukan pilihan, Wang Meiyin daripada pasukan benua China, Hengxiang Cycling Team (HEN) menyarung dua jersi iaitu Jersi Merah (Raja Bukit) dan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia).

Pasukan profesional benua, MTN-Qhubeka (MTN) dari Afrika Selatan muncul Pasukan Terbaik Keseluruhan.

Lima pasukan profesional yang menyertai perlumbaan tahun ini ialah Garmin Sharp (GRS) dari Amerika Syarikat, Astana Pro Team (AST) dari Kazakhstan, Orica-GreenEDGE (OGE) dari Australia, Blanco Pro Cycling Team (BLA) dari Belanda dan Omega Pharma-Quick-Step Cycling Team (OPQ) dari Belgium.

Arredondo, 25, membawa pulang Jersi Kuning meskipun menamatkan kayuhan di tempat ke-40 pada peringkat terakhir (ke-10) semalam.

Perlumbaan dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu sejauh 114.80 kilometer (km) itu dimenangi Chicchi yang mencatat masa dua jam 39 minit 04 saat.

Pelumba New Zealand, Rico Rogers daripada Synergy Baku Cycling Team (BCP) di tempat kedua (2’39:04s). Graeme Brown (BLA) menjadi pelumba ketiga yang melepasi garisan penamat di Dataran Shahbandar (2’39:04s).

Bagaimanapun, kejayaan Arredondo lebih bermakna selepas naib juara Tour of Japan tahun lalu itu berjaya meneruskan legasi pelumba kelahiran Amerika Selatan untuk menjadi juara keseluruhan.

Arredondo mengikut jejak langkah rakan senegaranya, Jose Serpa yang melakukannya bersama Androni Giocattoli pada 2009 dan 2012.

Dua pelumba Venezuela, Jose Rujano daripada ISD-NERI (2010) dan Jonathan Monsalve yang beraksi bersama Vini Fantini-Selle Italia tahun ini menang pada 2011.

“Saya berasa sangat gembira. Saya membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi perlumbaan ini dan kami berjaya memenanginya. Ia adalah sesuatu yang sangat hebat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai Malaysia, Arredondo berkata, dia seronok berada di negara ini meskipun terpaksa tidur semalaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tertinggal kapal terbang ke Langkawi, Kedah.

Sementara itu, Chicchi dari Itali yang turut memenangi peringkat keempat dari Tapah, Perak ke Kapar, Selangor pada 24 Februari lalu menyarung Jersi Biru (Raja Pecut) selepas mengumpul keseluruhan 96 mata.

Kejayaan itu memusnahkan impian rakan senegaranya, Andrea Guardini daripada Astana Pro Team (AST) untuk mencatat hatrik selepas melakukannya pada 2011 dan 2012.

Wang Meiyin pula memenangi dua jersi (Jersi Merah dan Jersi Putih) dalam tahun yang sama.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -