Posted by : admin Tuesday, April 2, 2013

Akibat dendam, seorang penganggur maut selepas terkena sembilan daripada 15 das tembakan yang dilepaskan padanya di perkarangan tempat letak kereta Flat Taman Seri Serdang, kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Mangsa, Bernard Ooi Poh Beng, 39, mati di tempat kejadian selepas enam daripada tembakan mengenai bahagian dada serta masing-masing satu di lengan kiri, ketiak kanan dan perutnya.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Abdul Razak Elias ketika ditemui di tempat kejadian berkata, berdasarkan jumlah kelongsong peluru serta cara tembakan dilepaskan, polis tidak menolak kemungkinan dendam sebagai motif kejadian.

"Mangsa dikatakan sedang dalam berjalan pulang ke rumahnya yang terletak di blok satu flat berkenaan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Menurut saksi yang ditemubual, sebuah kereta Proton Waja berwarna perak tiba-tiba berhenti berdekatan mangsa dan orang yang berada di dalam kenderaan itu melepaskan beberapa das tembakan sebelum mangsa rebah," katanya.

Menurut Abdul Razak lagi, polis menemui dua jenis peluru yang berbeza dan yakin suspek lebih daripada dua orang menggunakan dua senjata api berlainan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah.

Katanya, polis akan menyiasat latar belakang mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -