Posted by : admin Tuesday, April 2, 2013

“Dua minggu lalu saya sering bermimpi melihat kakak berpakaian cantik sambil tersenyum memandang kami sekeluarga,” demikian kata Wini Roswita Abdullah, 40, adik ipar pesakit saraf, Fauziah Muhamad, 39, yang menghembuskan nafas terakhirnya, pagi semalam.

Menurutnya, setiap kali dia bermimpi tentang Allahyarham, dia akan memaklumkan perkara itu kepada abangnya, Abil Fikri Ahmad.

“Saya pun tidak tahu kenapa. Tapi saya kerap bermimpi tentang arwah dan ketika itu saya tidak rasa apa-apa. Kali terakhir saya berjumpa dengannya dua hari lalu. Keadaannya tidak lagi bermaya dan berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Wini berkata, Allahyarham seorang kakak yang baik dan rajin memasak setiap kali adanya perjumpaan keluarga.

Bagaimanapun katanya, air tangan masakan Allahyarham tidak dapat lagi dirasai selepas dia terlantar sakit. “Sebenarnya seminggu sebelum dia dimasukkan ke hospital, kami sekeluarga ada merancang pergi ke Cameron Highlands.

“Biasanya arwah dengan rela hati ambil peranan memasak. Tapi ketika itu dia kata mahu berehat dan rupa-rupanya itu petanda dia akan berehat selama-lamanya,” katanya.

Selain itu Wini berkata, dia bersyukur kerana semasa arwah sakit, dia dijaga dengan rapi oleh abangnya.

“Sejak kecil memang nampak abang saya seorang bertanggungjawab. Saya pada awalnya tidak sangka dia tabah dan setia menjaga isterinya.

“Saya sendiri kagum dengan kesungguhan abang. Dia tidak pernah berputus asa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik,” katanya.

Namun katanya, ALLAH lebih berkuasa dan arwah kini pergi buat selamanya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -