Posted by : admin Sunday, June 20, 2021

Oleh Ahmad Suhael Adnan
 
Negara maju membolot bekalan vaksin sehingga Malaysia lambat menerima tempahan. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR  Negara maju membolot bekalan vaksin sehingga Malaysia lambat menerima tempahan. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

KUALA LUMPUR: Beberapa negara maju yang membolot vaksin menjadi punca peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bergerak perlahan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan negara maju itu menyebabkan bekalan vaksin kepada kebanyakan negara seluruh dunia, termasuk Malaysia terjejas, sekali gus mengehadkan jumlah pemberian vaksin yang boleh diagihkan setiap hari.

Daripada 73.1 juta dos vaksin ditempah yang cukup untuk 120 peratus populasi negara, katanya, Malaysia hanya menerima kira-kira 8.42 juta dos daripada tiga portfolio vaksin setakat 18 Jun lalu, berikutan bekalannya yang terhad di seluruh dunia.

"Jika dibandingkan jumlah penerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berbanding keseluruhan penduduk, Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding Jepun. Malah kompetitif berbanding negara besar di Asia Tenggara.

"Namun, kita dapat saksikan jurang yang besar jika dibandingkan dengan negara maju lain yang membolot vaksin seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU), yang menunjukkan ketidakadilan pengagihan vaksin di seluruh dunia.

Petugas menyediakan suntikan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer di klinik Los Angeles. - Foto AFP
Petugas menyediakan suntikan vaksin COVID-19 keluaran 
Pfizer di klinik Los Angeles. - Foto AFP

"Ini bukan alasan, tapi jelas menunjukkan kapasiti pemberian vaksin bukan masalah kita, tapi jadual penghantaran disebabkan ketidakadilan pengagihan vaksin.

"Rakyat perlu faham bahawa kerajaan sedaya upaya cuba mendapatkan vaksin secepat mungkin. Tetapi inilah realiti dalam pengagihan vaksin," katanya pada sidang media Pelan Pemulihan Negara secara hibrid di Putrajaya, hari ini.

Dalam sidang media itu, statistik menunjukkan kadar pemberian sekurang-kurangnya satu dos vaksin berbanding keseluruhan penduduk ialah 12.2 peratus setakat 18 Jun lalu, hanya ketinggalan kira-kira empat peratus berbanding Jepun, selain mendahului negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Bagaimanapun, ketidakadilan pengagihan vaksin dunia menyaksikan Kanada berada pada kadar 66.2 peratus, disusuli UK (62.5 peratus), AS (52.7 peratus) dan EU (46.6 peratus).

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Penyelaras program pelalian, berkata sebanyak 828,000 daripada 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca menerusi fasiliti COVAX sudah diterima Malaysia setakat ini, selain empat juta daripada 44.8 juta dos vaksin Pfizer dan 3.6 juta daripada 12 juta dos vaksin Sinovac.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia kini dapat meningkatkan kapasiti pemberian vaksin harian apabila bakal menerima lonjakan bekalan vaksin bermula bulan depan.

"Kita berjaya mengawalkan jadual penghantaran, apabila semua 12 juta dos vaksin Sinovac akan selesai diterima pada akhir bulan depan. Sebanyak 25 juta dos vaksin Pfizer akan diterima pada suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai hingga September depan.

"Ini meletakkan negara dalam keadaan yang baik, sekali gus membolehkan Malaysia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin harian pada suku ketiga tahun ini dan memastikan sasaran 80 peratus populasi divaksin, tercapai sebelum akhir tahun," katanya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -