Posted by : admin Sunday, June 20, 2021

Zuhainy Zulkiffli

Sebahagian daripada 30 mangsa yang mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan berkonsepkan pinjaman patuh syariah sebuah syarikat membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas, hari ini. NSTP/ Zuhainy Zulkiffli
Sebahagian daripada 30 mangsa yang mendakwa terpedaya dengan skim pelaburan berkonsepkan pinjaman patuh syariah sebuah syarikat membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas, hari ini. NSTP/ Zuhainy Zulkiffli

BAYAN LEPAS: Kira-kira 30 individu `berputih mata' selepas terpedaya dengan janji manis skim pelaburan berkonsepkan pinjaman patuh syariah oleh sebuah syarikat swasta di sini.

Mangsa menyedari ditipu oleh pengurusan syarikat itu selepas pengasasnya gagal dihubungi dan dipercayai menghilangkan diri sejak setahun lalu.

Difahamkan, syarikat yang ditubuhkan pada 2017 bertujuan membantu individu yang mengadapi masalah kewangan, menjana semula pendapatan.

Konsep digunakan ialah dengan mengutip wang pinjaman orang ramai dan menjanjikan keuntungan bermula antara 10 peratus setiap bulan dalam bentuk hibah dan patuh syariah.

Mangsa, Razak Othman, 52, berkata dia menyertai skim berkenaan sejak tiga tahun lalu dengan melaburkan keseluruhan wang simpanan dan pinjaman sebanyak RM100,000.

Katanya, kebanyakan mangsa terpedaya selepas yakin melihat rakan mereka yang lain mendapat keuntungan menerusi pelaburan itu.

Malah, pengasas syarikat berkenaan mendakwa terbabit dengan pelbagai program amal dan membuat perjumpaan di hotel terkemuka menyebabkan mangsa yakin dengan skim berkenaan.

"Pada tahun pertama dan kedua, saya menerima pulangan keuntungan pelaburan itu antara RM1,000 hingga RM2,500 setiap bulan.

"Sehinggalah pada Mac tahun lalu, pengasas syarikat itu memaklumkan bahawa bayaran tidak dapat dijelaskan kerana beberapa kekangan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini sudah setahun berlalu menyebabkan kami berasa tertipu," katanya kepada media selepas membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas, di sini, semalam.

Razak berkata, wang pelaburan membabitkan kesemua mangsa dianggarkan berjumlah RM500 juta.

Mangsa turut melakukan carian dan semakan mengenai syarikat itu dan mendapati akaun berbilion ringgit yang didakwa milik pengasasnya adalah palsu.

Sementara itu, pesara syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Mahani, 53, berkata dia menyertai skim berkenaan pada 2019 selepas dua kali menghadiri perjumpaan di sebuah hotel di sini, yang ketika itu disertai seramai 3,000 ahli.

Dia melaburkan sebanyak RM19,200 wang simpanan pencen ilat dan mendapat pulangan keuntungan antara RM800 hingga RM2,300 sebulan selama setahun.

"Saya pernah menghubungi pengasasnya beberapa bulan lalu tetapi talian dimatikan.

"Ada mangsa yang melabur lebih RM2 juta kerana terpedaya dengan skim ini, malah abang saya juga hampir menjual bas miliknya bagi menyertai pelaburan itu," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa, mahu dikenali sebagai Muhammad, 43, dari Bayan Baru, berkata pengasasnya memberi alasan bahawa wang syarikat itu diseleweng oleh kakitangan pengurusannya.

"Jika benar, mengapa dia tidak buat laporan polis malah difahamkan dia masih aktif dan berselindung di sebalik kerja amal di sekitar negeri ini.

"Laporan polis juga sudah dibuat beberapa kali sebelum ini supaya siasatan dapat dijalankan dan berharap mangsa yang lain tampil bagi membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

- Copyright © Berita Hangat dan Sensasi Terbaru -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -